Ikhlas dalam amalan dapat mencegah daripada melakukan kemungkaran
“Beramallah/bekerjalah kamu, nescaya Allah, Rasulnya dan orang mukmin akan melihat pekerjaan kamu itu” (Maksud daripada ayat 105 Surah at- Taubah)
“Beramallah/bekerjalah kamu, nescaya Allah, Rasulnya dan orang mukmin akan melihat pekerjaan kamu itu” (Maksud daripada ayat 105 Surah at- Taubah)
Apabila kita membicarakan tentang amalan atau pekerjaan, ia akan melibatkan dua perkara iaitu sumbangan dan ganjaran atau antara pekerja dan majikan. Dalam Islam, sebarang amalan atau pekerjaan yang tidak terkeluar daripada batasan syarak jika dilakukan dengan ikhlas, ia termasuk dalam kategori ibadat. Oleh yang demikian bagi setiap orang beriman yang bekerja dengan penuh ikhlas akan memperolehi dua ganjaran iaitu mendapat upah atau gaji selepas selesai melaksanakan pekerjaan tersebut dan yang keduanya akan memperolehi ganjaran pahala di sisi Allah sebagai bekalan di Akhirat nanti.
Perkataan ikhlas terlalu mudah disebut di pinggir bibir tetapi sukar untuk diletak di pangkal hati. Keikhlasan perlu datang seiring dengan akal yang sihat dan nurani yang suci yang semestinya berpaksikan kepada ketakwaan kepada Ilahi. Darjat ketakwaan hanya akan mampu diperolehi melalui mujahadah diri iaitu sesorang perlu membersihkan hati nuraninya daripada segala sifat mazmumah (keburukan) seperti hasad dengki,sombong diri, khianat, tamak haloba dan yang seumpama dengannya.
Penentuan sama ada seseorang itu telah memperolehi darjat ketakwaan atau belum hanya diri individu itu sendiri yang boleh menentukannya, bukannya daripada kacamata orang lain kerana ia amat berkait rapat dengan hubungan antara hamba dengan Allah SWT. Alat perhubungan yang perlu digunakan dalam konteks hubungan antara hamba dengan penciptanya untuk mencapai darjat ketakwaan ialah solat kerana Allah telah menegaskan di dalam al-Qur`an bahawa “sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar”.
Oleh yang demikian, cubalah kita renungkan di saat kita masih diberi ruang dan peluang ini di tahap manakah kualiti solat kita adakah kita termasuk dalam kategori orang yang hanya berdiri mengerjakan solat ataupun orang yang benar-benar mendirikan solat. Sekiranya kita ikhlas memelihara solat , insya Allah solat akan memelihara kita daripada melakukan kemungkaran dan membimbing kita ke jalan ketakwaan. Jangan kita jadikan kesibukan bekerja sebagai alasan meremehkan solat dan jangan pula solat dijadikan alasan untuk mengabaikan pekerjaan. Tepuk dada tanya iman. Rebutlah peluang selagi ada kesempatan sebelum tiba saat kesempitan. Wallahu a`lam.
No comments:
Post a Comment