Kehadiran Ramadhan al-Mubarak disambut dengan pelbagai ragam oleh manusia yang mengaku muslim. Bagi yang bertakwa, kehadiran Ramadhan terlalu dirindui. Ramadhan akan disambut sebagai tetamu vvip kerana ia hadhir dengan membawa pelbagai anugerah dan ganjaran. Ia datang dengan membawa keberkatan. Ia datang dengan membawa kerahmatan dari Tuhan yang menguasai sekelian alam, Allahu Rabbul Alamin. Maka Ramadhan dirai sepanjang siang dan malam dengan persembahan demi persembahan sama ada ketika berdiri, duduk ataupun berbaring dengan alunan puji-pujian dengan penuh kesungguhan, penuh keikhlasan semata-mata mengharapkan keredhaan dan ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.
“Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk elalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk seorangpun kecuali mereka (yang berpuasa). Kelak aka nada pengumuman: Dimanakah orang yang berpuasa? Mereka (yang berpuasa) lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tersebut ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya”
“Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh tujuh puluh tahun perjalanan”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Abdullah bin Mas’ud berkata:
“Empat perkara yang menggelapkan hati atau melembapkan otak: Perut yang terlalu kenyang, berkawan dengan orang suka melakukan maksiat, tidak menginsafi dosa-dosa dan terlalu panjang angan-angan”.
Oleh yang demikian, bagi meraikan Ramadhan al-Mubarak ini, lakukanlan yang terbaik bagi mengisi keperluan Rohani dan jasmani agar termasuk dalam golongan yang diredhai Ilahi.
No comments:
Post a Comment